Covid-19 Sabah: Kes susut sedikit tapi masih paras tinggi

Covid-19 Sabah: Kes susut sedikit tapi masih paras tinggi

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah susut sedikit kepada 2,430 kes hari ini berbanding 2,594 kes yang direkodkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata penurunan 164 kes itu tidak mengubah status semasa jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Katanya, jumlah harian yang direkodkan masih tinggi, malah beberapa daerah mencatat peningkatan ketara hari ini dengan didahului Kinabatangan, bertambah 139 kes kepada 165 kes berbanding hanya 26 kes semalam.

Beliau berkata, sebahagian besar kes baharu di Kinabatangan disumbang melalui kluster baharu iaitu Kluster Kinabatangan 2 yang mencatat 122 kes baharu hari ini.

“Beberapa daerah mencatat jumlah kes yang lebih tinggi berbanding semalam iaitu Kota Kinabalu bertambah 55 kes kepada 622 kes, Kinabatangan bertambah 139 kes kepada 165 kes, Kudat bertambah 42 kes kepada 66 kes, Pitas bertambah 27 kes kepada 52dan Kota Belud bertambah 15 kes kepada 91 kes.

“Penurunan kes yang banyak pula dicatat di Keningau iaitu berkurang 104 kes kepada 34 kes, diikuti Kota Marudu berkurang 46 kes kepada 35 kes, Putatan berkurang 40 kes kepada 41 kes, Papar berkurang 68 kes kepada 196 kes dan Penampang berkurang 85 kes kepada 183 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata 1,030 daripada jumlah kes hari ini adalah kes yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, diikuti 221 kes lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 274 kes lagi adalah keputusan sampel ujian yang didaftar lewat melebihi lima hari.

Katanya, saringan kontak rapat menyumbang 1,362 kes atau 56 peratus daripada keseluruhan kes hari ini, diikuti 734 kes (30.2 peratus) melalui saringan bergejala dan 155 kes (6.4 peratus) diperolehi melalui saringan bergejala.

“Seramai 1,732 pesakit baharu Covid-19 hari ini adalah dalam kategori dua, manakala 652 pesakit dalam kategori satu, diikuti 24 orang dalam kategori tiga, seramai lima orang dalam kategori empat dan 13 orang dalam kategori lima,” katanya.

Sementara itu, sehingga semalam, Masidi berkata semua negeri di Malaysia termasuk Sabah berjaya mencapai sasaran nilai ambang 40 peratus vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, Sabah juga kini hampir mencapai 60 peratus penduduk dewasa yang sudah mengambil satu dos vaksin Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|