SK Patau-Patau berkongsi ilmu pengajaran Jawi

SK Patau-Patau berkongsi ilmu pengajaran Jawi

Labuan: Menyedari kepentingan mempertahan dan meningkatkan penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau, di sini, mengambil inisiatif berkongsi ilmu pendekatan berkesan mengajar Jawi bersama sekolah lain.

Menerusi pendekatan itu, SK Patau-Patau bekerjasama dengan SK Tempinis, Besut, Terengganu dan SK Kampung Besut, Setiu, Terengganu bertukar pengalaman mengajar Jawi menggunakan kaedah Awjad secara dalam talian, baru-baru ini.

Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) SK Patau-Patau, Ustazah Dalilah Desa yang menyampaikan ceramah pada program itu, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Professional Learning Community (PLC) bagi perkongsiaan amalan terbaik pemulihan Jawi.

Katanya, program itu bertujuan melahirkan murid yang dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi serta mempunyai motivasi dan semangat untuk mempertahankan tulisan berkenaan.

“Penguasaan tulisan Jawi juga penting untuk membantu murid mencapai kecemerlangan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan melalui program ini, ia memberi inspirasi kepada guru, panitia dan sekolah untuk membina intervensi dan inovasi pengajaran Jawi,” katanya.

Semenetara itu, Guru Besar SK Patau-Patau, Rosli Mohd Ali, berkata pemilihan SK Patau-Patau sebagai platform utama bagi sesi perkongsian PLC berkenaan membuka peluang kepada guru meluaskan jaringan selain dapat merancang dan melaksanakan program ilmiah.

Katanya, ia juga selaras dengan usaha ke arah pembentukan sahsiah murid dan pelaksanaan program berkaitan Transformasi Sekolah 2025 yang menumpukan pelaksanaan program secara lebih terancang dan bersistematik.

Sementara itu, Guru Besar SK Tempinis, Rosli Omar dan Guru Besar SK Kampong Besut, Mohd Azrol Mohamad sama-sama menyatakan penghargaan kerana atas pemilihan sekolah masing-masing bagi menjayakan program berkenaan.

Mereka turt menzahirkan harapan agar kerjasama antara sekolah itu dapat meningkatkan lagi kemahiran dan teknik pengajaran serta pembelajaran tulisan Jawi yang dilaksanakan di sekolah masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|