20 pesara polis terima bantuan bakul makanan

20 pesara polis terima bantuan bakul makanan

Penampang: Seramai 20 pesara polis menerima sumbangan bakul makanan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim dalam satu majlis ringkas yang diadakan di IPD Penampang.

Mohd Haris berkata, semua penerima bantuan itu adalah bekas anggota dan pegawai yang dikenalpasti berada dalam kawasan pentadbiran IPD Penampang.

Katanya, semua pesara ini sememangnya amat dihargai atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan kepada negara sepanjang bertugas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bantuan ini tidak terhenti di sini, malah dalam majlis ringkas hari ini, kita mendapat maklumat terdapat beberapa lagi pesara polis yang memerlukan bantuan berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selain terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kita akan cuba mendekati pesara-pesara ini menerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) untuk membantu semampu yang boleh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bakul Makanan kepada Pesara Polis di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, bantuan ini adalah program yang dilakukan PDRM dan IPD Penampang pula bertindak sebagai penyelaras dalam menyampaikan bantuan serta mengenalpasti pesara-pesara yang ada di daerah ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, ia memudahkan IPD Penampang untuk membantu dan menjaga kebajikan bekas anggota dan pegawai polis sebagai salah satu penghargaan kepada jasa pengorbanan mereka.

Sementara itu, salah seorang penerima, Datuk Aloysius Mobijin, 79, berkata, beliau amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada dirinya dan rakan-rakan pesara lain.

Katanya, sumbangan itu bukanlah mengenai bantuan makanan semata-mata tetapi ia lebih kepada penghargaan kepada mereka yang pernah bertugas menjaga keselamatan negara.

“Saya sering berkata kepada rakan-rakan seangkatan dan pesara polis, PDRM tidak akan pernah melupakan atau mengabaikan kebajikan setiap anggotanya.

“Saya amat berbesar hati dan terasa amat dihargai, maka saya ucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Mohd Tahir Suhod, 60, berkata, sumbangan yang disampaikan itu amat bermakna kepada dirinya dan keluarga.

Katanya, ia bukan saja melambangkan perhargaan kepada pesara polis tetapi juga ikatan kekeluargaan kuat dalam PDRM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|