Lelaki mengamuk ugut bakar rumah majikan ditahan

Lelaki mengamuk ugut bakar rumah majikan ditahan

Beaufort: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dan mengugut akan membakar rumah majikannya selepas diberhentikan kerja dalam kejadian di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, suspek warga Indonesia terbabit dikatakan datang ke rumah bekas majikannya dengan membawa parang panjang sambil berteriak mencari isteri, anak dan majikannya.

Bagaimanapun ketika itu hanya anak lelakinya berusia 18 tahun berada di rumah lalu menghubungi ayahnya sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapanya.

Katanya, suspek diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah syabu.

“Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.

“Beberapa minit kemudian majikannya tiba rumah dan dia turut menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek dengan menyatakan akan membakar rumah majikannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu – Menumbok di Kampung Kayul, di sini, pada 7.40 malam semalam.

“Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu. Soal siasat akan diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|