Rayu jalan diturap, bina menara telekomunikasi

Rayu jalan diturap, bina menara telekomunikasi

Tenom: Enam perkampungan membabitkan hampir 1,000 penduduk di bawah mukim Rundum, Kemabong, di sini, merayu agar penurapan jalan dan pembinaan menara telekomunikasi dapat dilakukan untuk kemudahan penduduk.

Jalan yang menghubungkan perkampungan berkenaan dengan pekan Tenom sepanjang kira-kira 30 kilometer sehingga kini masih belum berturap dan menyukarkan perjalanan penduduk kampung.

Lebih menyukarkan lagi apabila perjalanan selama hampir dua jam di kawasan berkenaan juga tidak mempunyai kemudahan komunikasi untuk memudahkan perhubungan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Penduduk Kampung Rundum, Yansuku Impar, 55, berkata, keadaan jalan yang tidak berturap menyukarkan penduduk untuk mendapatkan keperluan atau memasarkan hasil tani mereka di Pekan Tenom.

Katanya, ketiadaan jalan yang sempurna dan rosak teruk itu menyebabkan penduduk mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke pekan berkenaan.

“Kami hanya mampu keluar sebulan sekali sama ada untuk mendapatkan barang makanan atau menjual hasil pertanian untuk meraih pendapatan.

“Ini berikutan keadaan jalan itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Yansuku berkata, perjalanan akan menjadi lebih sukar dan mencabar ketika cuaca hujan disebabkan jalan licin serta berlubang.

“Lebih merisaukan lagi apabila penduduk kampung berdepan kes kecemasan seperti ibu mengandung yang mahu bersalin atau pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera.

“Oleh itu, kebiasaannya, kami terpaksa membawa mereka keluar lebih awal dari kampung dan tinggal di sekitar pekan Tenom sebagai persediaan mendaptkan rawatan di hospital,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Trance Ysuku, 29, berkata, ketiadaan liputan rangkaian komunikasi di kawasan kampung mereka juga menyukarkan kehidupan penduduk.

Katanya, ketika ini mereka hanya bergantung dengan rangkaian wifi di sekolah berhampiran untuk berhubung dengan dunia luar.

“Kami berharap menara telekomunikasi dapat dibina di kampung ini bagi memudahkan penduduk mendapat akses talian telefon dan internet.

“Ia bukan saja untuk hal-hal kecemasan tetapi juga penting bagi murid dan pelajar yang terbabit dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang mengakui jalan raya di kawasan Rundum sememangnya memerlukan pembangunan.

Bagaimanapun katanya, pembinaan itu dijangka akan dijalankan pada bila-bila masa sebelum penghujung tahun ini membabitkan peruntukan RM200 juta.

“Manakala bagi cadangan pembinaan menara telekomunikasi, ia masih dalam proses oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Qhazanah Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|