Lelaki miliki syabu ditahan

Lelaki miliki syabu ditahan

Tawau: Taktik seorang pekebun menyembunyikan syabu di dalam lipatan seluar yang dipakai gagal mempedayakan pihak berkuasa apabila ditahan di sekatan jalan raya di kilometer 143.5 Jalan Sapulut-Kalabakan, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu yang menaiki motosikal Honda Wave pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa mendapati yang beralamat di Kampung Ulu Kalabakan itu memiliki dadah jenis syabu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pemeriksaan mendapati suspek membawa tiga paket plastik kecil berisi ketulan hablur disyaki syabu.

Katanya, suspek terus ditahan bersama syabu yang dianggarkan seberat 0.61 gram bagi membantu siasatan lanjut.

“Motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang suspek turut ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya.

“Jumlah rampasan dalam kes ini dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM4,090 termasuk motosikal suspek yang dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|