Bomba redah tanah runtuh, pokok tumbang selamatkan warga emas

Bomba redah tanah runtuh, pokok tumbang selamatkan warga emas

Penampang: Pasukan penyelamat bomba terpaksa meredah lumpur selain memotong dahan pokok bagi menyelamatkan seorang warga emas di Kampung Sugud, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 89 tahun dan menghidapi sakit tua dikatakan cuba menyelamatkan diri daripada runtuhan tanah yang berlaku di hadapan rumahnya.

Pasukan penyelamat bomba terpaksa meredah tanah runtuh bagi menyelamatkan mangsa berusia 89 tahun.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tergelincir sehingga mengakibatkan patah kaki dan terpaksa mendapatkan bantuan untuk dibawa keluar bagi menerima rawatan lanjut.

Ketua Operasi Bomba, Jamaludin Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 8.19 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bomba kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati jalan masuk ke rumah mangsa sejauh kira-kira 500 meter dihalang tanah runtuh dan pokok tumbang serta kabel elektrik.

“Pasukan bomba terpaksa bertindak melakukan operasi pemotongan kayu bagi memberi laluan masuk ke rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba memotong dahan pokok yang tumbang bagi memudahkan kerja menyelamat mangsa

Jamaludin berkata, sebaik berjaya sampai ke rumah berkenaan, mangsa didapati patah kaki selain menghidapi sakit tua.

Katanya, selepas diberikan rawatan awal dan pemasangan ‘lower limb’ di kaki, mangsa terus dibawa keluar ke jalan utama.

“Sebaik sampai ke jalan utama, mangsa terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa juga dilaporkan stabil,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|