Pawagam dibuka mulai esok

Pawagam dibuka mulai esok

Kota Kinabalu: Panggung wayang atau pawagam di negeri ini dibenarkan dibuka semula untuk orang ramai menonton wayang mulai esok.

Kebenaran itu diumumkan jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam kenyataannya malam tadi.

Beliau berkata kebenaran itu juga selaras dengan keputusan kerajaan Pusat membenarkan operasi premis berkenaan.

Namun, katanya kehadiran penonton terhad kepada 50 peratus kapasiti pawagam, selain penonton dan pekerja perlu lengkap vaksin.

“Aktiviti panggung wayang ini dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja dan penonton sudah lengkap divaksin dan dengan kapasiti 50 peratus dewan tayangan pawagam,” katanya.

Penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu memaksa penutupan pawagam bagi mengelak jangkitan dalam kalangan penonton.

Dalam pada itu, Masidi berkata sehingga 15 September, sebanyak 54.6 peratus daripada 2,758,400 penduduk dewasa di Sabah sudah menerima dos vaksin lengkap.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata bagi penduduk yang sudah menerima satu dos, sebanyak 68.9 peratus direkodkan setakat kelmarin.

Semalam, Sabah mencatat 1,982 kes baharu COVID-19 dengan sebanyak 47 kes kematian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|