Tenom: Seorang penumpang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu ibunya dalam kejadian kemalangan di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau, semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Manakala ibu mangsa yang maut yang juga pemandu kenderaan berusia 54 tahun pula hanya mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tenom.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Iswara dan Perodua Myvi.
Katanya, sebaik kenderaan bertembung, penumpang Proton Iswara tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu ibunya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan terus dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Manakala pemandu kenderaan Perodua Myvi bersama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebelum itu, rakaman kejadian kemalangan berdurasi satu minit lapan saat itu tular di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan sebuah kenderaan terbalik di tepi jalan dan seorang mangsa terbaring dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
-Deasoka