Kabinet Pusat putuskan cadangan guna kaedah PFI siapkan Lebuhraya Pan Borneo

Kabinet Pusat putuskan cadangan guna kaedah PFI siapkan Lebuhraya Pan Borneo

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat akan memutuskan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau sudah menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika lawatannya ke Sabah, semalam.

Katanya, Perdana Menteri memberi jaminan akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk dibincang sebelum membuat keputusan mengenainya.

“Projek Pan Borneo ini, untuk fasa satu saja ada 22 pakej. Ketika ini hanya beberapa pakej dapat dilaksanakan dalam setahun.

“Jadi, kalau setahun hanya satu atau dua pakej saja dilaksanakan, sampai tahun 2050 pun projek ini tidak siap. Sebab itu kita mencadangkan agar pelaksanaannya dibuat secara PFI.

“Saya sudah menyuarakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau memberi jaminan untuk membawanya ke Kabinet,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat dengan JKR Sabah bagi Pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem SKALA-PALMS bertempat di Dewan Kinabalu, Ibu Pejabat JKR Sabah, Sembulan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pada tahun ini empat pakej baharu projek Pan Borneo Sabah diluluskan, manakala sebanyak 11 pakej sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, kerja pembinaan semua 11 pakej terbabit setakat ini sudah mencapai kira-kira 60 peratus dan dijangka siap pada 2023 jika berjalan lancar.

Secara keseluruhan, katanya projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi 37 pakej yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca banjir yang sering berlaku di beberapa daerah kebelakangan ini.

Katanya, langkah itu bagi mencari penyelesaian terhadap masalah banjir dihadapi penduduk yang menyebabkan banyak kerosakan harta benda, selain membahayakan keselamatan.

Dalam pada itu, katanya gangguan bekalan air dialami penduduk Penampang ketika ini berpunca daripada masalah loji rawatan air yang mengambil masa untuk dipulihkan kerana turut terjejas akibat banjir.

Katanya, kerja pemulihan mengambil masa sehingga lima hari, bergantung kepada tahap kerosakan yang berlaku di loji terbabit.

“Sebelum ini saya sendiri bising kenapa tiada air apabila banjir. Sekarang baru saya tahu bahawa loji tidak dapat berfungsi jika kena banjir.

“Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menyelesaikan segera masalah itu. Kita berharap tiada kerosakan teruk berlaku di loji akibat banjir di Penampang itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|