JKR tingkatkan pemantauan projek di Sabah

JKR tingkatkan pemantauan projek di Sabah

Kota Kinabalu: Pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di Sabah akan dipantau dengan lebih berkesan menerusi kerjasama dua hala Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat dan negeri.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kerjasama itu diperkukuhkan lagi melalui pemeteraian nota kerjasama bagi Pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem SKALA-PALMS yang ditandatangani hari ini.

Katanya, Sistem Kawal dan Lapor (SKALA) adalah sistem yang dibangunkan JKR untuk pemantauan
projek yang berupaya memberikan maklumat dengan tepat dan terkini.

“Melalui pemantauan projek yang dilaksanakan, ia dapat memberi maklumat yang tepat dan terkini bagi meningkatkan kecekapan komunikasi dan pelaporan secara dalam talian.

“Ini membolehkan data-data projek pembangunan persekutuan dan negeri dapat diakses secara bersama. Perkongsian data ini juga akan mempercepatkan proses pelaporan kemajuan fizikal projek bagi membolehkan pemegang taruh memperolehi maklumat dengan segera, tepat serta menjimatkan kos.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan kecekapan sistem antara persekutuan dan negeri,” katanya pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat dengan JKR Sabah bagi Pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem SKALA-PALMS bertempat di Dewan Kinabalu, Ibu Pejabat JKR Sabah, Sembulan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeru, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Arthur berkata, kerjasama dan koordinasi antara agensi persekutuan dengan negeri perlu dipertingkatkan dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek serta program kerajaan ke arah transformasi digital.

Katanya, kerajaan dipacu teknologi akan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan moden, sekali gus membolehkan perancangan negara lebih berpandukan data bagi memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan persekutuan akan memastikan pembangunan di Sabah khususnya jajaran jalan raya yang menghubungkan antara bandar dan projek infrastruktur lain akan diberi perhatian sepenuhnya.

“Ini penting untuk kita merapatkan jurang pembangunan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Selain itu, projek-projek yang diluluskan oleh Kerajaan persekutuan perlu dilaksanakan segera.

“Ianya amat penting bagi memberi pembangunan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat. Kelewatan dalam melaksanakan mana-mana projek yang sudah diluluskan hanya merugikan rakyat dan jerajaan selain meningkatkan lagi kos projek,” katanya.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, sektor pembinaan adalah sektor penting untuk pembangunan ekonomi negara yang harus digerakkan ke tahap optimum dalam keadaan norma baharu.

Jelasnya, industri pembinaan adalah agen pengganda ekonomi yang boleh memberi manfaat ekonomi bukan sahaja kepada ekosistem industri pembinaan, malah kepada 196 industri lain seperti besi dan keluli, simen, lime dan plaster, ppertukangan kayu, perdagangan motor dan kenderaan.

Justeru, itu katanya perbelanjaan ke arah projek infrastruktur utama akan menjadi pelaburan jangka panjang yang baik untuk memupuk pembangunan fizikal dan limpahan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam usaha memulihkan ekonomi negara pasca Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|