Bincang peranan wanita era pandemik

Bincang peranan wanita era pandemik

Kota Kinabalu: Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) mengadakan webinar membincangkan Peranan Wanita di Era Pandemik Covid-19 sebagai pengisian sambutan Hari Malaysia, semalam.

Yang di-Pertua KESUMBA, Datin Dr Amalina Abdullah, berkata program selama dua jam itu antara lain bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam cabaran pandemik Covid-19 melalui penghayatan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September.

Yang di-Pertua KESUMBA, Datin Dr Amalina Abdullah.

“Perkongsian ilmu disampaikan perunding Pakar Obstetrik dan Ginekologi merangkap Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Prof Dr Helen Benedict Lasimbang.

“Ia disertai seramai 100 peserta dari dalam dan luar UMS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam webinar berkenaan, Helen membicarakan pelbagai isu wanita, termasuk penjagaan kesihatan mental dan psikososial.

Beliau mengetengahkan panduan dalam mengenal pasti emosi diri, membina kecekalan mental dan mengawal stress.

“Kita melihat sebilangan besar petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan di UMS terdiri daripada golongan wanita yang bertungkus lumus membantu memerangi Covid-19.

“Peranan mereka tidak ternilai dalam memelihara kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal rakyat selainpada masa yang sama turut mengalami stress dan kebimbangan apabila bekerja tanpa henti, risiko dijangkiti, keletihan fizikal dan pengasingan keluarga,” katanya.

Helen turut menyeru semua wanita agar dapat memohon bantuan sokongan dari keluarga dan rakan sekiranya menghadapi sebarang masalah apabila berdepan cabaran pandemik.

“Pihak kerajaan dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut berperanan membantu golongan wanita apabila terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Webinar edisi khas anjuran Biro Pendidikan dan Pelajaran KESUMBA itu disiarkan secara langsung dalam talian melalui aplikasi Webex dan Facebook KESUMBA UMS.

Turut ditayangkan video pemenang tempat pertama pertandingan mencipta video bertemakan Erti Kemerdekaan 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|