Helah 2 wanita sorok syabu pada bengkung terbongkar

Helah 2 wanita sorok syabu pada bengkung terbongkar

Tawau: Helah dua wanita warga asing menyembunyikan dadah pada bengkung gagal apabila taktik berkenaan dikesan polis dalam kejadian di Kilometer 37 Jalan Tawau – Semporna, di ini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, menemui sejumlah lebih dua kilogram dadah jenis syabu bernilai RM72,720.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, bertindak atas maklumat awam, polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan menuju ke bandar.

Peter (tengah) menunjukkan dadah syabu yang dirampas susulan penahanan dua wanita warga asing di KM37 Jalan Tawau – Semporna.

Katanya, polis kemudian bertindak menahan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan warna coklat masing-masing disembunyikan pada bengkung yang dipakai oleh dua wanita terbabit.

“Kedua-dua wanita warga asing berusia 38 dan 48 tahun ditahan bersama seorang lagi lelaki tempatan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Peter berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 40 plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat keseluruhan dadah syabu itu 2,016.99 gram bernilai RM72,720 mengikut harga pasaran gelap.

“Dadah itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui perairan Tawau,” katanya sambil menambah hasil urin mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 22 September.

“Pada masa sama, polis masih menjalankan siasatan terperinci berkenaan sindiket penyeludupan dadah di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|