Ranau: Program vaksinasi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun akan dilaksanakan di kampung-kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, bermula esok (18 September).
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata program berkenaan tertumpu di 18 kampung sekitar DUN Kundasang.
“Kampung yang terbabit ialah Tumbalang, Merungin 1, Pinampadan, Debut, Kembiroi, Daramakan, Tarawas, Pinawantai, Togop Darat, Tinutuan, Tibabar, Nawanon, Pugi, Kantas, Kieyep, Lobou Lama, Lobou Baru dan Merungin 2.
“Pemberian vaksin ini akan berlangsung sehingga 24 September, bermula jam 8.30 pagi sehingga 3 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, berkata program itu menyediakan sebanyak 400 dos vaksin sehari khusus untuk golongan remaja.
Katanya, pelaksanaan program itu dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Saya berterima kasih kepada semua JPKK yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Dounis Sani yang seringkali memberikan info terkini dan memastikan semua JPKK menjalankan tugas masing-masing.
“Anak yang menerima vaksin haruslah ditemani oleh ibu bapa atau penjaga ketika proses suntikan vaksin dan mereka hendaklah membawa kad pengenalan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Joachim juga menghargai kerjasama yang diberikan Pejabat Daerah Ranau, Jabatan Penerangan dan Jabatan Kesihatan dalam menjayakan program vaksinasi itu.
Selain program vaksinasi di kampung-kampung, beliau berkata pemberian vaksin untuk remaja di Ranau juga dibuat secara ‘walk-in’ di Dewan Masyarakat Ranau, bermula semalam.
“Dengan usaha ini, diharap daerah Ranau akan mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera untuk kebaikan semua masyarakat,” katanya.
Katanya, dua jenis vaksin diberikan menerusi program vaksinasi di Ranau iaitu Pfizer bagi yang mudah berulang alik mendapatkan dua dos, manakala CanSino di kawasan yang jauh dan sukar dihubungi.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membenarkan vaksinasi Covid-19 untuk remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun bermula semalam.
Keputusan itu selaras dengan pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menvaksin seramai mungkin remaja khususnya dalam kumpulan berisiko tinggi.
Ia juga selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Oktober depan.
-Deasoka