Sumbangan, bahan makanan diagih kepada mangsa banjir Penampang di PPS

Sumbangan, bahan makanan diagih kepada mangsa banjir Penampang di PPS

Penampang: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya, hari ini, turun padang meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) untuk melawat mangsa banjir di daerah ini.

Beliau yang tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang jam 2.30 petang tadi turut diberikan taklimat banjir daripada Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.

Shahelmey berkata, beliau hadir ke pusat berkenaan bagi meninjau sendiri keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Katanya, semua mangsa yang ada di sini ditempatkan di dalam ruangan khas mengikut keluarga masing-masing selain turut dibekalkan dengan makanan bermasak selama tiga hari.

“Hari ini, pihak kementerian juga menyampaikan sumbangan wang tunai dan bahan makanan bagi meringankan dan melegakan masalah yang dihadapi penduduk terjejas akibat banjir.

“Saya difahamkan sebanyak 27 kampung terjejas dalam kejadian banjir Rabu lalu membabitkan 40 keluarga dan hanya tujuh keluarga yang datang mendaftar di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di pusat berkenaan, hari ini.

Turut hadir mengiringi beliau, dua pembantu menteri kementerian berkenaan, Datuk Julita Mojungki dan Flovia Ng.

Shahelmey berkata, mangsa yang lain difahamkan memilih untuk menumpang di rumah keluarga masing-masing sementara menunggu keadaan kampung mereka kembali selamat diduduki.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bantuan dana sebanyak RM18.24 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Shahelmey berkata, beliau amat berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

Katanya, dana berkenaan akan diuruskan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam dan seterusnya ke pusat kawalan operasi di setiap daerah.

“Terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang menyalurkan dana melalui NADMA sebagai persiapan berdepan kemungkinan bencana alam hujung tahun ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|