UMS sudah sedia SOP kemasukan semula pelajar

UMS sudah sedia SOP kemasukan semula pelajar

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah bersiap sedia dengan pelan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut ketetapan pihak berkuasa berhubung kemasukan semula pelajar ke kampus bermula 15 Oktober depan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, langkah itu bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di kampus UMS dilaksanakan secara teratur bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata, pembukaan semula kampus itu selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, untuk membenarkan pelajar yang lengkap vaksin COVID-19 kembali ke kampus bermula 15 Oktober depan.

“Buat permulaan, pihak UMS akan memberi keutamaan kepada pelajar yang berkeperluan khas.

“Antaranya, mereka yang tinggal di pedalaman dan mempunyai isu capaian internet, keterbatasan peranti dan isu ketidakmampuan pelajar membeli kapasiti data yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelajar yang dibenarkan untuk memasuki kampus akan diberikan surat pengesahan keperluan kembali ke UMS.

Katanya, surat itu adalah dokumen sebagai bukti memohon kebenaran rentas daerah atau negeri daripada pihak berkuasa.

“Apabila berada di dalam kampus, pelajar akan sentiasa diingatkan untuk merujuk dan mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan sama ada di kolej kediaman, di kawasan fakulti atau kawasan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Taufiq turut memaklumkan bahawa lebih 81 peratus pelajar UMS sudah lengkap menerima vaksin sehingga hari ini.

Beliau berkata, pengurusan UMS juga sudah menghubungi pelajar yang belum divaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

“Bagi mereka yang berada di sekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) UMS.

“Bagi yang berada di Semenanjung dan Sarawak, kita bekerjasama dengan semua PPV IPT dan mereka boleh mendapatkan vaksin di sana ataupun PPV di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua kakitangan pentadbiran dan akademik termasuk pekerja luar seperti pihak pembekal dan mereka yang kerap berurusan di dalam universiti juga sudah menerima vaksin bagi mengelakkan berlakunya penularan kes Covid-19 di dalam kampus,” tambahnya.

Ketika ini UMS mempunyai 14,472 pelajar prasiswazah dan 3,209 pelajar pascasiswazah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|