PBS yakin berita baik berkaitan MA63 akan menyusul

PBS yakin berita baik berkaitan MA63 akan menyusul

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan jaminan dan peruntukan pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sambutan Hari Malaysia malam tadi sebagai bukti beliau memahami keperluan Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata berdasarkan perkembangan itu, beliau percaya lebih banyak khabar positif akan diumumkan kerajaan Pusat, terutama yang berkaitan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak lama lagi.

“Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengumuman itu bukan hanya mencerminkan bahawa beliau memahami keperluan Sabah dan Sarawak tetapi mengundang lebih banyak berita baik, terutama yang berkaitan dengan tuntutan MA63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata jaminan Ismail Sabri untuk terus menumpukan perhatian kepada keperluan dan hak rakyat Sabah serta Sarawak turut membuktikan komitmen beliau dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit.

Katanya, ia termasuk menyelesaikan isu MA63 yang tertunggak melalui Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Jelasnyanya, Majlis Khas yang turut dianggotai Ketua Mrnteri Sabah dan Sarawak serta lapan menteri persekutuan itu ditubuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu untuk mengkaji, meneliti dan mencari penyelesaian terhadap tuntutan hak Sabah dan Sarawak.

“Isu mengenai MA63 bukanlah perkara baharu. Sebenarnya, ia adalah perjuangan utama PBS sejak penubuhannya 36 tahun yang lalu, malah Perdana Menteri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia.

“Namun, jaminan Perdana Menterti bahawa segala tuntutan di bawah MA63 akan diteliti, dibincang dan diselesaikan menunjukkan kesungguhan beliau untuk memenuhi tuntutan kedua-dua wilayah, dan rakyatnya,” katanya.

Joniston berkata, pemimpin Sabah dan Sarawak mahu jaminan tindakan bagi melaksanakan Pindaan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk status sama rata serta mengkaji semula pemberian geran khas kepada kedua-dua wilayah seperti dinyatakan dalam Perkara 112D dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pentingnya memastikan isu MA63 yang belum diselesaikan dapat diberi perhatian dengan serius.

“Namun, kami yakin bahawa dengan pengalaman dan pengetahuan Presiden PBS yang luas mengenai perkara ini, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), beliau pasti memberi tumpuan semaksimum mungkin agar usaha melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 dapat dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, Joniston berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan pembangunan RM4.66 bilion di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Ke-12 turut menunjukkan bahawa Ismail Sabri menyedari keperluan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, terutama di luar bandar.

Katanya, infrastruktur luar bandar adalah antara masalah yang perlu ditangani, terutama jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih.

“Di samping itu, Sabah juga berhak mendapat peruntukan RM3.61 bilion melalui Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan lagi akses internet di negeri ini, yang mana masih kurang terutama di kawasan pendalaman yang mempunyai liputan internet yang teruk,” katanya.

Beliau berkata, PBS menghargai dana pembangunan yang diperuntukkan kepada Sabah, namun turut berharap dana yang lebih banyak dapat disalurkan kerana Sabah dikategorikan sebagai antara negeri termiskin di Malaysia walaupun terkenal sebagai negeri yang kaya dengan sumber alam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|