Jemaah solat Jumaat, fardhu ditambah mulai hari ini

Jemaah solat Jumaat, fardhu ditambah mulai hari ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersetuju untuk menambah bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau serta aktiviti keagamaan yang lain berkuat kuasa hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah jemaah yang dibenarkan bagi solat Jumaat di masjid utama ditambah kepada 300 orang.

Beliau berkata, jemaah di masjid kariah pula ialah ditambah kepada 200 orang, manakala solat Jumaat di surau dihadkan kepada 50 orang jemaah.

“Bagi solat fardhu pula, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid utama ialah 150 orang. Namun, bagi masjid jariah dan surau hanya 50 jemaah yang dibenarkan.

‘Keutamaan untuk solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid dan surau diberi kepada jemaah yang sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata aktiviti lain yang dibenarkan merangkumi kuliah Maghrib yang dilaksanakan antara waktu Maghrib dan Isyak.

Selain itu, katanya solat jenazah dengan bilangan jemaah seperti solat Jumaat dan solat lima waktu juga dibenarkan, manakala pengurusan jenazah dibenarkan dengan penyertaan 20 orang, diikuti kebenaran ziarah kubur jugs seramai 20 orang.

“Bagi majlis akad nikah di masjid atau surau, bilangan yang dibenarkan ialah 20 orang di dewan atau bilik khas tertakluk kepada keluasan dan kebenaran jawatankuasa masjid atau surau,” katanya.

Takrifan masjid utama katanya merujuk kepada masjid seperti Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dan semua Masjid Daerah.

Dalam pada itu, Sabah hari ini mencatat sebanyak 1,533 kes baharu positif Covid-19 dengan 22 lagi kes kematian, iaitu enam kes di Sandakan, tiga kes di Keningau, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu dan Tawau, manakala Beaufort, Kota Belud, Kota Marudu, Papar dan Pitas masing-
masing mencatatkan satu kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|