Dua maut rempuh belakang treler rosak

Dua maut rempuh belakang treler rosak

Kinabatangan: Pemandu dan penumpang van persiaran maut selepas merempuh belakang sebuah treler rosak yang parkir atas jalan raya dalam kejadian di Kilometer 71 Jalan Sandakan – Lahad Datu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, pemandu van Muhammar Ghadafi Abdul Gafar, 38, dan penumpang Mohd Ridzuan Madarup, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan Hospital Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah van persiaran dengan sebuah treler.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa pemandu dan penumpang van persiaran dipercayai dalam pemanduan kelajuan tinggi telah melanggar kon yang dipasang bahagian belakang treler yang rosak di atas jalan.

“Pemandu van melanggar kon yang dipasang dibahagian belakang treler sebelum merempuh belakang treler berkenaan.

“Pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Kinabatangan untuk saringan ujian calitan Covid-19 dan proses bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan, dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|