Lelaki khayal dadah ugut bunuh ibu ditahan

Lelaki khayal dadah ugut bunuh ibu ditahan

Beaufort: Akibat pengaruh dadah, seorang lelaki bukan sahaja hendak memukul semua ahli keluarganya malah tergamak mengugut membunuh ibunya.

Kejadian berlaku pada jam 9.30 malam tadi, di rumah mereka di Kampung Bambangan, Membakut, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, sebaik menerima maklumat daripada orang awam sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di kediaman itu, bapa kepada suspek memberitahu anaknya mengamuk dan hendak memukul semua orang yang berada di dalam rumah.

“Suspek turut mengugut hendak membunuh ibunya sendiri. Lanjutan itu anggota polis kemudian segera masuk ke dalam rumah dan sebaik memperkenalkan lalu berlaku pergelutan.

“Tetapi suspek berjaya ditenangkan dengan bantuan ahli keluarga suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek kemudian di bawah ke Balai Polis Membakut untuk ujian saringan air kencing.

“Hasil saringan urin mendapati suspek positif methamphetamine dan disyaki mengamuk kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Suspek berusia 28 tahun itu kemudian ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Yusoff Zaki menasihati orang ramai khususnya masyarakat di daerah ini supaya elak daripada terjebak daripada najis dadah kerana bukan sahaja merugikan individu itu, malah memberi kesan tidak baik kepada negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|