Tiga lelaki terbabit kes bunuh diburu

Tiga lelaki terbabit kes bunuh diburu

Semporna: Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kes bunuh di perairan Labuan Haji, di sini, Khamis lalu diburu pihak berkuasa daerah ini.

Ketiga-tiga lelaki itu sudah dikenalpasti terbabit dalam kejadian melanggar bot sebelum membelasah mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa Tendang Sampulatik, 40-an, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui terdampar di Pulau Bohey Dulang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 11.15 pagi.

Katanya, isteri mangsa memaklumkan pada hari sebelumnya dia bersama mangsa, ibu mertua dan anaknya yang berusia dua tahun sedang memancing di kawasan perairan berkenaan.

“Bagaimanapun, bot yang dinaiki mereka tiba-tiba dilanggar dengan sengaja oleh sebuah bot yang dinaiki tiga suspek yang dikenali.

“Salah seorang suspek bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkannya terjatuh ke dalam laut sebelum kumpulan suspek menarik mangsa naik ke atas bot dan terus memecutkan bot ke arah Pulau Boheyan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, pada jam 4.42 petang Sabtu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang.

Katanya, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat dan isteri mangsa turut mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah suaminya.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka dipercayai terkena objek tajam di leher dan kepala mangsa.

“Bagaimanapun, proses bedah siasat masih belum dilakukan kerana perlu menunggu ujian calitan Covid-19,” katanya.

Mohd Farhan berkata, semua suspek berusia antara 40 hingga 50 tahun dikenali sebagai Gamal, Robel dan Alpa namun mereka dipercayai sudah melarikan diri.

“Kita percaya ketiga-tiga suspek sudah melarikan diri ke sempadan Filipina dan kes ini dipercayai bermotifkan dendam sehingga terjadinya kes bunuh.

“Kes ini tidak berkaitan culik rentas sempadan atau membabitkan senjata api,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes ini iaitu Asisten Superintandan Arif Abd Razak @ Idris di talian 088-454464 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|