Sekolah dibuka semula ikut fasa PPN bermula 3 Oktober

Sekolah dibuka semula ikut fasa PPN bermula 3 Oktober

Kota Kinabalu: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah akan bermula pada 3 Oktober depan di semua negeri yang berada dalam fasa dua hingga empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, bagaimanapun berkata pembukaan sekolah untuk sesi bersemuka berbeza berdasarkan fasa PPN di negeri masing-masing.

Katanya, bagi negeri dalam fasa dua, sesi PdP bersemuka bermula 3 Oktober depan hanya membabitkan murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah rendah, manakala pelajar semester dua Tingkatan Enam atau pra universiti yang akan menduduki peperiksaan bagi sekolah menengah dibenarkan hadir ke sekolah.

Selain daripada itu, katanya kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih dilaksanakan sama seperti negeri dalam fasa satu PPN yang masih menggunakan kaedah PdPR sepenuhnya.

“Bagi negeri yang berada dalam fasa tiga PPN pula, murid dan pelajar yang dibenarkan ke sekolah bermula 3 Oktober ditambah dengan membabitkan semua kelas peperiksaan di sekolah menengah.

“Untuk sekolah asrama, kehadiran pelajar adalah seperti biasa, manakala kehadiran secara penggiliran bagi sekolah harian. Murid sekolah rendah pula, hanya kelas MBK dan prasekolah dibenarkan hadir tanpa penggiliran, manakala yang lain masih mengikuti PdPR,” katanya dalam pengumuman mengenai pembukaan sekolah, hari ini.

Katanya, sistem penggiliran kehadiran ke sekolah dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di bilik darjah iaitu dengan membahagikan setiap kelas kepada dua kumpulan dan menetapkan kehadiran secara bergilir seminggu sekali mengikut kumpulan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata bagi negeri yang sudah berada di fasa empat, murid tahap satu sekolah rendah akan mula datang ke sekolah mengikut kumpulan yang digilirkan bermula 17 Oktober, manakala murid tahap dua akan datang ke sekolah bermula 31 Oktober.

“Bagi pelajar sekolah menengah di negeri fasa empat pula, pelajar Tingkatan Tiga dan Empat sekolah asrama akan hadir seperti biasa bermula pada 17 Oktober, manakala secara bergilir bagi sekolah harian.

“Pelajar kelas Peralihan dan Tingkatan Satu dan seterusnya pula dibenarkan hadir ke sekolah bermula 31 Oktober dengan kehadiran biasa bagi sekolah asrama dan secara bergilir bagi sekolah harian serta sekolah swasta.

“Bagi kelas peperiksaan di negeri fasa empat PPN, mereka akan hadir ke sekolah bermula pada 3 Oktober, sama seperti negeri di fasa dua dan tiga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|