Sesi sekolah tahun ini dilanjut hingga Mac 2022

Sesi sekolah tahun ini dilanjut hingga Mac 2022

Kota Kinabalu: Sesi persekolahan tahun ini dilanjutkan sehingga Mac 2022, manakala sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada Mac hingga 2023.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berikutan itu murid dan pelajar masih berada dalam kelas yang sama sehingga Mac tahun depan, manakala murid baharu Tahun Satu hanya akan ke sekolah bermula Mac tahun depan.

“Sesi sekolah 2021 dilanjutkan sehingga Mac 2022, maknanya anak-anak kekal dalam kelas yang sama dari Januari hingga Mac tahun depan sebelum pindah atau naik kelas.

“Tujuannya untuk melihat tahap penguasaan murid supaya bersedia untuk naik ke kelas baharu.

“Kalau masih lemah, murid boleh mengikuti kelas intervensi bagi membolehkan menguasai pembelajaran atau kemahiran asas,” katanya pada pengumuman mengenai pembukaan sekolah, hari ini.

Sementara itu, katanya kehadiran murid dan pelajar ke sekolah akan diwajibkan memakai pelitup muka, selain digalakkan menggunakan pelitup muka dua lapis.

Beliau berkata, bagi murid dari keluarga miskin dan kurang mampu, kementerian akan membekalkan pelitup muka sebagai langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19 di sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|