Anggota polis maut ketika dalam perjalanan pulang

Anggota polis maut ketika dalam perjalanan pulang

Penampang: seorang anggota polis yang dalam perjalanan pulang ke kediamannya maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu – Papar, dekat Kem Lok Kawi, Putatan di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.59 tengah malam itu, Koperal Rozlan Shahruddin Abd Ajik, 35, yang bertugas di Balai Polis Putatan, Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Penampang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim (kiri) turut berada di lokasi kemalangan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di PPR Kampung Segindai, Kinarut, Papar.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah melanggar dari arah belakang sebuah lori.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah dan maut ditempat kejadian yang disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

“Mangsa telah dibawa ke HQE I untuk tujuan saringan ujian Covid-19 dan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mohd Haris yang turut berada di lokasi kejadian berkata, mangsa merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Putatan.

Katanya, pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar kepada seluruh keluarga IPD Penampang.

“Terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang pekhidmatanmu Koperal Rozlan.

“Seluruh warga IPD Penampang menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Koperal Rozlan,” katanya.

Allahyarham Koperal Rozlan belum mendirikan rumah tangga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|