Orang utan turut jalani saringan Covid-19

Orang utan turut jalani saringan Covid-19

Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mengambil inisiatif melakukan saringan bagi mengesan virus Covid-19 dalam kalangan orang utan yang berada di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan.

Timbalan Pengarah JHLS, Dr Sen Nathan dalam satu kenyataan, berkata langkah itu diambil kerana ditakuti hidupan liar berkenaan turut dijangkiti Covid-19 berikutan peningkatan kes jangkitan virus Covid-19 di Sabah, ketika ini.

Katanya, kebimbangan mengenai perkara itu juga disebabkan ada antara penjaga hidupan liar dan kakitangan di kedua-dua fasiliti JHLS berkenaan dikesan positif Covid-19.

“Memandangkan ada kes positif Covid-19 dalam kalangan penjaga dan kakitangan di kedua-dua fasiliti itu yang menempatkan orang utan, kita mengambil inisiatif menjalankan ujian saringan terhadap semua orang utan bagi memastikan ia bebas daripada jangkitan.

“Ujian saringan terhadap hidupan liar ini juga penting kerana penyakit berkenaan boleh menjejaskan kesihatan dan program pemulihan orang utan yang dilaksanakan,” katanya.

Sebanyak 30 orang utan menjalani ujian saringan yang dilakukan pasukan veterinar JHLS dan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) diketuai Dr Rosa Sipangkui, Dr Nabila Sarkawi dan dibantu Dr Mischellena Samanthan serta Dr Umamaheswary Kalamanathan.

Sementara itu, Pengarah JHLS, Augustine Tuuga, berkata pihaknya bersyukur semua orang utan terbabit dikesan negatif Covid-19, namun pemantauan berterusan tetap dilaksanakan bagi mengesan jika ada mana-mana orang utan menunjukkan simptom atau tanda jangkitan.

Katanya, ujian saringan juga akan diulang dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi memastikan virus Covid-19 tidak menular dalam kalangan hidupan liar berkenaan.

“Ini kali pertama orang utan menjalani ujian saringan Covid-19 sejajar keutamaan kita dalam memastikan kesihatan serta kebajikan veterinar hidupan liar itu berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada Pengerusi Orangutan Appeal UK (OUAK), Datuk Sue Sheward kerana tampil membantu menyediakan dana untuk kit ujian antigen Covid-19, pulse oximeter dan ubat-ubatan untuk orang utan serta kakitangan di Sepilok dan WRU.

Dalam pada itu, Sheward berkata OAUK berbangga dapat tampil membantu dalam usaha memastikan populasi orang utan tidak diancam jangkitan Covid-19.

“Orang utan berkongsi 96.4 peratus DNA dengan manusia, jadi sangat penting kita melaksanakan ujian saringan terhadap hidupan liar itu dalam usaha untuk melindungi mereka.

“Begitu juga kesihatan dan kebajikan kakitangan adalah sangat penting kerana mereka terus bekerja sepanjang pandemik bagi menjaga hidupan liar sama seperti sebelum ini,” katanya.

Katanya, pada tahun ini OAUK juga menyokong aktiviti konservasi yang akan dilaksanakan Unit Konservasi Spesies Terancam yang baru diwujudkan di bawah JHLS berpusat di Lahad Datu, selain WRU dan Sepilok Orangutan Appeal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|