121 mangsa kebakaran ditempatkan di Dewan Serbaguna Damai

121 mangsa kebakaran ditempatkan di Dewan Serbaguna Damai

Kota Kinabalu: Seramai 121 mangsa kebakaran di Skim Penempatan Telipok, di sini, semalam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Damai, di sini.

Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, PPS itu diaktifkan selepas berlaku kebakaran di Skim Penempatan Telipok yang memusnahkan 26 buah rumah.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengurus mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu.

“Setakat jam 8 pagi ini, mangsa membabitkan 20 keluarga terdiri daripada 29 lelaki 42 wanita, 21 kanak-kanak lelaki dan seramai 29 kanak-kanak perempuan.

“Semua mangsa terbabit adalah penduduk di kawasan Skim Penempatan Telipok,” katanya.

Dalam kejadian kebakaran pada kira-kira 1 tengah hari itu, sebanyak 26 rumah musnah sepenuhnya menyebabkan 115 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Selain itu, empat kenderaan turut musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu berlaku.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|