SESB kesal kontraktor korek tanah punca gangguan elektrik

SESB kesal kontraktor korek tanah punca gangguan elektrik

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan kontraktor pembinaan yang masih tidak berhati-hati menjalankan kerja pengorekan tanah hingga menjejaskan kabel elektrik bawah tanah dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.

Pengurus Besar Kanan SESB (Pengurusan Aset), Ir Idris Mohd Noor, berkata selain mengambil masa untuk dipulihkan, gangguan bekalan elektrik akibat kecuaian kontraktor terbabit turut menimbulkan kerugian kepada syarikat utiliti itu.

Pada masa yang sama, beliau berkata pengguna turut menyalahkan SESB kerana terpaksa berdepan gangguan bekalan elektrik tidak dijangka sedangkan punca sebenar adalah daripada kontraktor pembinaan yang cuai melaksanakan kerja.

“Kerja pengorekan yang dilakukan kontraktor pembinaan pihak ketiga adalah antara cabaran utama kepada usaha SESB memberikan bekalan elektrik tanpa gangguan kepada pengguna.

“Aktiviti itu sering menyebabkan kabel bawah tanah milik SESB terkorek menyebabkan gangguan bekalan elektrik walaupun sebelum ini SESB sudah memberi peringatan dan ada yang diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian terbaru semalam, kira-kira 3,000 pengguna berdepan gangguan bekalan elektrik selama hampir dua jam berikutan kerosakan kabel bawah tanah disebabkan pengorekan tanah untuk projek pelebaran jalan raya di Simpang Sepanggar-Jalan Tuaran.

Gangguan bekalan berlaku bermula pada jam 11.53 pagi sebelum kerja pemulihan dikaksanakan sehingga bekalan dapat dipulihjan sepenuhnya pada jam 2.49 petang.

Idris berkata, ia adalah kejadian kedua gangguan bekalan elektrik akibat pengorekan tanah oleh pihak ketiga dalam minggu ini.

Kejadian pertama katanya dilaporkan pada Rabu lalu di Kampung Sodomon, Kepayan, dekat sini yang menjejaskan lebih 2,000 pengguna kerana terpaksa berdepan gangguan bekalan elektrik hingga berjam-jam.

Sehubungan itu, beliau berkata SESB memohon supaya pihak kontraktor dan orang ramai memaklumkan terlebih dahulu sebarang aktiviti pengorekan tanah di bahu jalan kepada SESB agar aktiviti pengesanan kabel dapat dilakukan sebelum kerja pengorekan dibuat.

“Perkara ini dapat menjamin keselamatan dan mengelakkan insiden gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan. Setakat ini, sebuah kontraktor pelebaran jalan berdepan tindakan undang-undang kerana melakukan sebanyak 78 kes pengorekan tanah yang menjejaskan kabel bawah tanah SESB dan kita berharap tindakan undang-undang dapat dipercepatkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|