Kota Kinabalu: Kehadiran bekas jurulatih skuad kebangsaan B23, Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih baharu Sabah FC diyakini mampu membawa perubahan positif kepada pasukan itu.
Keyakinan itu disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan Kim Swee sebagai pilihan terbaik untuk mengendali Sabah FC.
Katanya, SAFA sentiasa menyokong keputusan pengurusan skuad Sang Badak itu, dengan harapan Sabah mampu bangkit semula daripada prestasi kurang memberangsangkan pada musim ini.
Beliau berkata, keputusan mengikat Kim Swee turut mencerminkan usaha serius Sabah FC mengembalikan kedudukan yang pernah dicapainya pada 1990-an, lebih-lebih lagi Kim Swee pernah menjadi sebahagian daripada pasukan Sabah ketika itu.
“SAFA memang mengalu-alukan kehadiran Kim Swee dan kita yakin beliau mampu untuk membentuk Sabah FC menjadi satu pasukan yang setanding dengan pasukan lain dalam arena bola sepak di negara ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima peletakan jawatan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikalnya dan menyatakan beliau akan memulakan tugas baharu sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC berkuatkuasa 1 Oktober ini.
Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengucapkan terima kasih atas khidmat Kim Swee sepanjang bersama FAM dan berharap beliau berjaya dengan karier baharunya bersama skuad Sabah FC.
Hari ini, Kim Swee mengadakan perjumpaan bersama Bung Moktar di Kuala Lumpur berhubung keputusannya menerima tawaran Sabah FC dan meletakkan jawatan Pengarah Teknikal FAM untuk kembali berbakti kepada pasukan yang beliau pernah bermain sebelum ini.
Kim Swee menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan selepas Sabah FC gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir di bawah kendaliannya sejak Mei lalu.
Pengurus Pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir pada minggu lalu mengumumkan keputusan kelab itu untuk merehatkan Kurniawan berikutan prestasi merudum pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.
Penolong jurulatih, Burhan Ajui kemudian dilantik sebagai pengendali sementara pasukan, manakala bekas ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating dibawa masuk semula membantu Sabah FC sebagai penolong pengurus pasukan.
Bung Moktar berkata, sebagai badan induk bola sepak di Sabah, SAFA bertanggungjawab untuk memantau prestasi Sabah FC agar ia tidak tersasar daripada matlamat utama untuk meningkatkan mutu bola sepak di negeri ini.
“Peminat bola sepak mengharapkan Sabah FC sentiasa menunjukkan pencapaian yang baik dan pada masa yang sama, SAFA juga sejak dari awal penubuhan kelab profesional ini mahu ia terus cemerlang dalam sukan ini,” tegasnya.
Beliau yakin Sabah FC mampu kembali melakar kegemilangan dalam sukan bola sepak negeri seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.
-Deasoka