Persatuan Pengguna Bijak sokong pendirian kerajaan bantah sekatan agama

Persatuan Pengguna Bijak sokong pendirian kerajaan bantah sekatan agama

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyokong pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju terhadap cadangan mewujudkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Presidennya, David Chan, berkata Persatuan Pengguna Bijak Sabah berpandangan isu agama sangat sensitif khususnya di Sabah yang mana penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

“Kita mempunyai 46 suku dan 200 suku kecil di Sabah tetapi kita saling menghormati agama.

“Rakyat negeri ini mengamalkan toleransi antara kaum dan ia mewujudkan keharmonian yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang unik.

“Setiap budaya, setiap perayaan, kita selalu meraikannya bersama-sama. Menerima jemputan daripada rakan lain yang berlainan kepercayaan atau budaya adalah satu cara untuk menghormati satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

David berkata, perpaduan antara kaum bermula dengan persefahaman bersama dan wajar dipertahan dan dikukuhkan lagi demi masa depan negeri ini.

Sehubungan itu, katanya pendirian kerajaan negeri yang disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berhubung cadangan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) menyekat perkembangan agama lain di Parlimen adalah bertepatan dengan keadaan di Sabah.

“Kami menyokong keputusan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Rakyat Sabah saling menghormati pelbagai kepercayaan dan budaya semua kaum demi mengekalkan persahabatan pelbagai dan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|