Kerajaan Pusat perlu serius perkenal undang-undang anti lompat parti

Kerajaan Pusat perlu serius perkenal undang-undang anti lompat parti

Kota Kinabalu: Kerajaan persekutuan perlu serius memperkenalkan undang-undang anti lompat parti bagi menyelesaikan isu wakil rakyat berpindah parti yang menjadi perdebatan politik sejak sekian lama.

Menyuarakan harapannya, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata beliau berharap kerajaan Pusat kali ini benar-benar serius untuk merealisasikan undang-undang berkenaan memandangkan ia sudah lama dicadangkan.

Katanya, PBS sudah lama menyuarakan supaya undang-undang anti lompat parti diwujudkan, malah rang undang-undang (RUU) yang sama pernah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika pemerintahan PBS dahulu dan diluluskan.

Bagaimanapun, katanya undang-undang anti lompat parti yang diperkenalkan PBS di Sabah itu dicabar di mahkamah sebelum diputuskan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Inilah perjuangan PBS dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden dahulu. Hakikatnya, kita memang memerlukan undang-undang anti lompat untuk menstabilkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Johnny berkata amalan melompat parti adalah budaya yang tidak sihat dan boleh menghuru-harakan keadaan politik negara atau negeri khususnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Beliau juga berharap blok pembangkang akan menyokong penuh RUU Anti Lompat Parti apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen selepas Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan komited untuk melaksanakan transformasi dalam pentadbiran kerajaan.

Ismail Sabri berkata, transformasi itu dibuat untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Selain itu katanya, Undi 18 juga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat melalui pembentangan satu RUU Pindaan Perlembagaan bagi membolehkan individu berumur 18 tahun mengundi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|