Api dipercayai bermula dari dapur

Api dipercayai bermula dari dapur

Kota Kinabalu: Kebakaran 26 buah rumah setinggan di Skim Penempatan Telipok, di sini, tengah hari tadi, dipercayai bermula dari dapur sebelum merebak hingga memusnahkan rumah berdekatan.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan 115 keluarga tinggal sehelai sepinggang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal melalui kenyataan mangsa yang rumahnya terbakar memaklumkan api berpunca dari salah sebuah rumah.

Katanya, mangsa sedang makan tengah hari dan tiba-tiba menyedari dapur rumahnya sudah terbakar.

“Selepas melihat keadaan api yang besar, mangsa panik dan bertindak melarikan diri dari rumah berkenaan.

“Akibat kejadian itu, beberapa rumah berdekatan turut terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya siasatan masih dijalankan oleh pihak bomba untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu berlaku.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 petang.

“Menurut laporan, kebakaran membabitkan sebanyak 26 rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman kdengan mengunakan sumber air dari tangki jentera dan hasil pemeriksaan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi memadam api terkawal pada jam 2.23 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|