Lelaki khayal dadah, mabuk cuba langgar polis

Lelaki khayal dadah, mabuk cuba langgar polis

Beaufort: Polis Terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki seorang lelaki yang dalam keadaan lalok dan mabuk selepas cuba melanggar anggota polis ketika hendak diperiksa, semalam.

Tembakan itu menyebabkan kereta dinaiki suspek berusia 57 tahun berhenti dan suspek cuba melarikan diri namun polis berjaya ditahan di kawasan kebun getah, Batu Abai, Kuala Penyu, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort yang menjalankan Ops Pintu/Ops Cegah Jenayah di sekitar Kuala Penyu terserempak sebuah kereta Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Senjata tajam yang ditemui di dalam kereta dipandu suspek.

Katanya, pasukan polis kemudian mengekori sebelum mengarahkan untuk berhenti berkali-kali sambil menjerit perkataan polis.

“Tetapi suspek memecut laju sehingga masuk ke Simpang jalan kebun getah Batu Abai dan kereta berkenaan berhenti kerana jalan itu adalah jalan mati.

“Pasukan polis kemudian keluar dari kereta untuk membuat pemeriksaan dan tiba-tiba pemandu kereta itu bertindak agresif mengundur kereta dan cuba melanggar anggota polis

“Anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kereta untuk memberhentikan kenderaan itu dan mempertahankan diri kerana diancam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kesan dua das tembakan di bahagian belakang tayar kereta suspek selepas bertindak agresif cuba melanggar anggota polis.

Yusoff Zaki berkata, pasukan polis terus ke kereta untuk pemeriksaan dan mendapati suspek lelaki cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Soal siasat mendapati suspek takut ketika diminta berhenti kerana baru sahaja menghisap dadah syabu dan berada dalam keadaan mabuk.

“Polis turut merampas sebilah pisau dan parang. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai lima kesalahan lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1858.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|