Gudang sembunyi rokok seludup diserbu

Gudang sembunyi rokok seludup diserbu

Kota Kinabalu: Sebuah gudang di Bandar Letat, Batu 3, Sandakan, yang dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup berjaya diserbu Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, semalam.

Hasil operasi jam 3.48 petang itu berjaya menemui kira-kira 90,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM67,320 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika tiba di lokasi kes, gudang berkenaan dikesan dibiarkan terbuka dan tidak berkunci.

Gudang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup diserbu.


Katanya, pasukan serbuan kemudiannya membuat pemerhatian selama 30 minit namun mendapati tiada sesiapa yang menghampirinatai mengawasi kawasan gudang berkenaan.

“Bertindak atas arahan Pegawai Pemerintah Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad, pasukan serbuan terus melakukan pemeriksaan di gudang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui sembilan kotak berisi 4,500 bungkus rokok yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rokok berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Kejayaan berkenaan adalah kerjasama antara Taskforce Perisikan dan Tiger Platon Batalion 15 PGA Sandakan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|