44 individu dikompaun sejak 1 Jun

44 individu dikompaun sejak 1 Jun

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kompaun terhadap 44 individu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 bermula sejak 1 Jun lalu.

Pengarah Penguatkuasa DBKK Abdul Mukti Muchlish berkata, kompaun terbabit dikeluarkan sejak Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikuasa oleh Pengarah Kesihatan Malaysia untuk mengeluarkan kompaun mengikut akta berkenaan.

Katanya, semua kompaun juga dikeluarkan sepanjang operasi pemantauan yang dilaksanakan bersama agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi tiga kawasan termasuk pusat bandar, luar pusat bandar utara dan luar pusat bandar selatan.

Kakitangan DBKK mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di salah sebuah taman perumahan yang dikenakan PKPD di Kuala Manggatal.

“Jika dilihat dari segi kesalahan terbabit, orang awam masih degil dengan keluar ke kawasan bandar dan melepak tanpa tujuan. Kita akan memberikan nasihat bagaimanapun jika kesalahan berulang kompaun akan dikeluarkan jepada mereka.

“Sebahagian besar individu dikompaun juga mengambil remeh dalam mendaftar MySejahtera terutama pengunjung di pusat beli belah atau supermarket,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Taman Kuala Manggatal yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan dilaksanakan mengikut waktu pengoperasian sesuatu kawasan termasuk kedai makan, pasar, pasar borong serta pusat beli belah.

Sementara itu, mengenai program bantuan bakul makanan, beliau berkata, sejumlah 10,785 bakul makanan berjaya diagihkan kepada golongan e-kasih serta B40 serta 1,000 bakul makanan turut diberikan kepada mereka yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah sejak Januari sehingga Julai.

Katanya, Kerajaan negeri juga memperuntukkan 14,953 bakul makanan di 32 kawasan PKPD di sini dan proses pengagihan masih dijalankan secara berperingkat terutama di kawasan yang baharu diisytiharkan sebagai PKPD.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|