Pengusaha teksi sapu dikesan cetus kluster

Pengusaha teksi sapu dikesan cetus kluster

Kota Kinabalu: Seorang pengusaha teksi sapu dikenalpasti menjadi kes indeks melibatkan jumlah kumulatif 44 kes jangkitan covid di Klias, Beaufort, hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster dikenali sebagai Kluster Kota Klias itu berpunca daripada kes indeks yang merupakan lelaki berusia 69 tahun.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang majoritinya adalah keluarga kepada pelanggan teksi sapu tersebut di beberapa lokaliti sekitar Mukim Kota Klias.

“Kes indeks disahkan positif ujian RTK-Ag di Hospital Beaufort pada 3 Julai lalu selepas mengalami gejala.

“Daripada 71 kontak yang disaring, kluster ini merekodkan kadar positif sebanyak 60.5 peratus dengan jumlah kumulatif sebanyak 44 kes termasuk empat kes terbaru, pada hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata demikian dalam kenyataan media hariannya pada hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 370 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,506 kes.

“Dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di daerah Keningau dan satu kes lagi di Semporna.

“Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|