Bekalan gula, minyak masak cukup di Tawau – KPDNHEP

Bekalan gula, minyak masak cukup di Tawau – KPDNHEP

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tawau memberi jaminan bekalan gula dan minyak masak di daerah ini mencukupi.

Ia susulan sebanyak 411.05 metrik tan bekalan gula dan 416.653 metrik tan minyak masak paket bersubsidi saiz satu kilogram diedarkan kepada pemborong kedua dan peruncit di daerah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP cawangan Tawau, Aslani Dabi berkata, bekalan bagi kedua-dua barang terbabit itu diterima sejak 1 Jun lalu untuk diedarkan ke Tawau, Semporna dan Kunak.

“Berdasarkan pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Tawau terhadap pemborong utama di daerah ini, sebanyak 324 metrik tan bekalan gula diterima pada Jun manakala sebanyak 288 metrik tan diterima pada Julai dan dijangka bekalan akan tiba di Tawau sehingga akhir bulan ini dan seterusnya.

“Pemborong utama memaklumkan bahawa tempahan bulanan bagi bekalan gula ini dibuat ke atas pengilang-pengilang gula di Semananjung dan dijangka bekalan akan tiba mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Sehubungan itu, Aslani berkata, keadaan bekalan gula di daerah ini akan mula stabil sepenuhnya pada Ogos depan dan buat masa ini, bekalan yang sedia ada sedang dan sudah diedarkan kepada pemborong kedua dan peruncit.

Katanya, bagi bekalan minyak masak paket bersubsidi pula sebanyak 587.17 metrik tan sudah diedarkan kepada kilang-kilang pembungkus minyak masak untuk diedarkan kepada pemborong kedua dan peruncit di Tawau, Semporna, Kunak dan Keningau.

“Bekalan minyak masak ini sepatutnya mencukupi kerana Tawau mempunyai sembilan kilang pembungkus minyak masak yang mempunyai kouta bulanan sebanyak 927 metrik tan.

“Peruncit-peruncit biasanya mendapat bekalan minyak masak paket dan
gula daripada pemborong dengan kekerapan satu hingga dua kali setiap
bulan namun peruncit juga diingatkan untuk memastikan had pembelian minyak masak dan gula sebanyak tiga kilogram bagi setiap pelanggan bagi memastikan lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkan bekalan barang kawalan terbabit, ” katanya.

Sebelum itu, KPDNHEP memaklumkan terdapat permintaan yang meningkat terhadap minyak masak
paket bersubsidi berikutan peningkatan mendadak harga minyak masak botol di pasaran baru-baru ini selain kedua-dua barang kawalan itu adalah termasuk bahan utama dalam bantuan bakul makanan yang disediakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pejabat Ahli Parlimen.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|