22 pertuduhan babitkan suapan lebih RM24,000

22 pertuduhan babitkan suapan lebih RM24,000

Tawau: Seorang kakitangan awam yang berdepan 22 pertuduhan mengaku tidak bersalah menerima suapan bernilai RM24,580.45 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini.

Tertuduh, Silvester Pantau, 52, yang bekerja sebagai ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sejak 4 Mac 2015 hingga 13 November 2015 iaitu menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengemukakan invois syarikat milik saudaranya.

Silvester didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah mohon dibicarakan dan dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM10,000.

Hakim Abu Bakar kemudian menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh.

Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah selain diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh dan tertuduh diwakili peguam, Zahir Hussein Ahmad Shah.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|