Lelaki hilang di Sungai Padas, ditemui meninggal dunia

Lelaki hilang di Sungai Padas, ditemui meninggal dunia

Tenom: Seorang lelaki yang hilang ketika memukat ikan di Sungai Padas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tomani, di sini, Sabtu lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mangsa Zali Tun, 25 tahun terbabit ditemui orang awam jam 7.30 pagi kira-kira 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi penemuan.

Katanya, sebaik tiba, pasukan paramedik terus melakukan pemeriksaan terhadap mangsa sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 8.58 pagi.

“Mangsa yang maut dikenali sebagai Zali Tun seorang lelaki berusia 25 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 petang, Sabtu lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas hilang dipercayai akibat ditarik arus deras di sungai berkenaan.

Mangsa dikatakan turun ke sungai berkenaan untuk mengambil pukat sebelum disedari hilang.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu kemudiannya menghubungi pihak berkuasa menerusi MERS999 bagi mendapatkan bantuan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|