Bendahari MCA Sabah sokong gesaan Bung Moktar berkaitan status Labuan

Bendahari MCA Sabah sokong gesaan Bung Moktar berkaitan status Labuan

Sandakan: Bendahari MCA Sabah, Datuk Chin Kim Hiung menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan Pusat membenarkan kerajaan negeri mengurus semula Labuan jika status pulau itu gagal dikembalikan sepenuhnya kepada pulau bebas cukai.

Kim Hiung berkata, beliau percaya pemimpin politik Sabah boleh memperbaiki kebajikan sosial dan ekonomi penduduk Labuan dengan menjadikan pulau itu benar-benar bebas cukai seperti pada mula-mula ia diberikan status itu.

“Kita menyokong seruan Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada kerajaan Pusat supaya membenarkan Sabah mentadbir semula Labuan jika tidak dapat melaksanakan perancangan untuk mengembalikan pulau itu kepada zaman kegemilangan sebagai tempat bebas cukai yang sebenar.

“Saya percaya Sabah mempunyai pemimpin politik yang boleh merelisasikan objektif itu,” katanya dalam satu kenyataan mengulas gesaan Bung Moktar mengenai usaha mengembalikan status Labuan sebagai pulau bebas cukai yang menjadi tarikan penting pulau itu sebelum ini.

Bung Moktar membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 4 Oktober lalu.

Beliau antara lain menggesa agar kerajaan persekutuan membenarkan Sabah membangunkan Labuan jika ia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk dilaksanakan di pulau berkenaan.

Dalam ucapan perbahasannya, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mendakwa ketika ini hanya coklat dan gula-gula barang bebas cukai yang dijual di Labuan, manakala harga barangan lain sama seperti di tanah besar.

Bung Moktar menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan supaya melawat Labuan dan melakukan kajian untuk mengembalikan dasar bebas cukai ke Wilayah Persekutuan Labuan yang memberi manfaat kepada penduduknya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|