Gajah Pigmi ditemui mati

Gajah Pigmi ditemui mati

Kinabatangan: Seekor gajah pigmi ditemui mati berhampiran Sungai Resang, Sukau, di kawasan Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, di sini, Sabtu lalu.

Bangkai gajah betina yang dipercayai berusia sekitar 25 tahun itu ditemui pasukan penyelidik hidupan liar kira-kira jam 8.30 pagi.

Hasil penemuan berkenaan, pasukan penyelidik kemudiannya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan turut dibantu Jabatan Hidupan Liar (JHL), Unit Veterinar Sepilok dan Unit Penyelamat Hidupan Liar Kinabatangan.

“Lokasi kejadian terletak kira-kira 66
Kilometer dari Pekan Kinabatangan dan sebaik bangkai gajah ditemui siasata terus dijalankan.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang organ gajah yang hilang dan ia dipercayai mati dalam tempoh tiga hingga empat hari.

“Hasil bedah siasat mendapati, sebab kematian haiwan berkenaan dipercayai berpunca dari keradangan pada organ dalaman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keradangan yang dikesan usus serta perut menyebabkan organ dalaman berkenaan gagal berfungsi dan menyebabkan kematian.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|