Lelaki edar dadah dicekup PGA

Lelaki edar dadah dicekup PGA

Lahad Datu: Seorang lelaki dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan selepas didapati membawa syabu dalam pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kampung Makoau, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 8.30 pagi itu, pasukan operasi turut berjaya merampas alat penimbang yang dipercayai digunakan untuk penjualan syabu berkenaan.

Dadah syabu yang dirampas. Ihsan PGA Sabah

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam operasi itu, sepasukan anggota dan pegawai PGA menahan lelaki berusia 44 tahun terbabit selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya menemui tiga plastik lut sinar yang disimpan di dalam beg silang yang dibawa suspek.

“Hasil pemeriksaan, bungkusan berkenaan mengandungi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 12.6 gram.

“Suspek terus ditahan dan semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM900 berdasarkan harga pasaran semasa” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|