Sidang DUN Sabah: Paip tidak ikut spefikasi, banyak bocor

Sidang DUN Sabah: Paip tidak ikut spefikasi, banyak bocor

Kota Kinabalu: Kebanyakkan paip daripada kementerian yang diselia pejabat daerah didapati tidak mengikut spesifikasi dan banyak berlaku kebocoran.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah membuat pemeriksaan dan meminta kontraktor yang berkaitan untuk membaiki kebocoran terbabit.

Limus (kanan) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika hadir pada sidang DUN Sabah.

“Jabatan Air telah memeriksa dan menyeru kontraktor membaiki kebocoran-kebocoran itu supaya penyambungan paip utama dapat dipulihkan.

“Begitu juga paip-paip yang sudah usang akan diganti dan sekarang dalam pembinaan dan penyiapan sebanyak 96 peratus akan siap pada 7 Januari 2022,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ruslan Muharam (PBS-Lumadan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ruslan Muharam (PBS-Lumadan)

Muharam dalam soalan tambahan beliau bertanya berhubung pelaksanaan batang paip yang diperuntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pusat yang dilakukan melalui pejabat daerah yang setakat ini saluran air masih gagal disambung dari batang paip yang dibina JANS.

Bagi menjawab soalan yang dikemukakan Muharam sebelum itu, Limus berkata, bekalan air terawat bagi kawasan Beaufort dan sekitarnya adalah dibekalkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Beaufort 1 dan LRA Beaufort 2 yang mempunyai kapasiti reka bentuk sebanyak 60 juta liter sehari dari sumber Sungai Padas.

“Setelah LRA Beaufort 2 telah siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2018, hampir 60 peratus kawasan di Beaufort ini mendapat bekalan air dari loji itu dan selebihnya menerima bekalan air daripada LRA Beaufort 1.

“Gangguan bekalan air yang dihadapi di Beaufort adalah apabila musim banjir dan kemarau di mana LRA Beaufort 1 dan Beaufort 2 terpaksa menghentikan proses rawatan air apabila kekeruhan air melebiihi 1,500 NTU dan pada musim kemarau LRA Beaufort 2 terpaksa mengurangkan pengeluaran bekalan air terawat disebabkan paras sungai yang rendah daripada permukaan muka sauk,” katanya.

Sehubungan itu, Limus berkata, bagi mengatasi masalah kekeruhan air ketika musim banjir di LRA Beaufort 1 dan LRA Beaufort 2, penggunaan bahan kimia iaitu (PAC) ‘Poly Aluminium Chloride’ akan digunakan khusus pada musim banjir disebabkan ciri-ciri bahan kimia ini sangat berkesan digunakan untuk menjimatkan masa rawatan air ketika air yang sangat keruh.

“Disamping dapat mengelakkan dosing pam yang sering tersumbat ketika menggunakan bahan kimia konvensional seperti Aluminium Sulfat dan Hydrated Lime.

“Bagi mengatasi masalah pengurangan bekalan air terawat daripada LRA Beaufort 2 pada musim kemarau, satu ‘weir’ sementara telah dibina di Sungai Padas berdekatan dengan muka sauk yang bertujuan untuk menjadi bendung bagi meninggikan paras sungai dan mengalirkan sebahagian aliran sungai ke muka sauk di LRA Beaufort 2,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan bekalan air terawat tetap berterusan walaupun ketika musim hujan dan kemarau, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan melaksanakan kajian dan reka bentuk bagi Cadangan Penambahbaikan Mutu Air Mentah Sungai Padas untuk LRA Beaufort 1 dan LRA Beaufort 2.

“Kajian ini melibatkan cadangan pembinaan sebuah fasiliti Pra-Pemendapan di muka sauk bagi mengawal kekeruhan air dan juga membina sebuah Kolam Takungan Air Pinggir Sungai (Off-River Storage, ORS) sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|