Cuba selamat peralatan gerai, lelaki melecur kedua-dua tangan

Cuba selamat peralatan gerai, lelaki melecur kedua-dua tangan

Keningau: Cubaan seorang lelaki menyelamatkan barangan di gerai jagaannya di Jalan Nabawan-Simpang Rancangan Belia Kilan, di sini, berakhir tragedi apabila mengalami kecederaan melecur kedua-dua tangan.

Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, mangsa berusia 30-an dikatakan menjaga di gerai berkenaan sebelum dikejutkan dengan api yang tiba-tiba marak.

Mangsa mengalami kecederaan melecur dikedua belah tangan selepas terkena bahang api ketika cuba menyelamatkan barangan di gerai berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Terkejut dengan kejadian itu, mangsa terus berusaha membawa keluar beberapa barangan dan peralatan gerai namun berdepan kesukaran ekoran api sudah marak terlalu besar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook Razlan Aridy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati membabitkan gerai jenis tidak kekal seluas 40 meter persegi yang sudah terbakar hampir 100 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 33 meter dari pancutan sumber air dari jentera terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razlan berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.48 pagi dan kejadian tidak melibatkan sebarang tambahan mangsa kecederaan dan kematian.

Katanya, mangsa yang melecur di kedua belah tangan kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di hospital.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 2.58 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|