Sidang DUN Sabah: Tidak berdaftar dengan LHDN punca PKS tercicir terima bantuan

Sidang DUN Sabah: Tidak berdaftar dengan LHDN punca PKS tercicir terima bantuan

Kota Kinabalu: Tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara punca pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini tercicir daripada mendapat bantuan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal berkata, terdapat beberapa isu yang dihadapi pengusaha di negeri ini.

“PKS mikro di Sabah terutama di luar bandar tidak berpeluang mendapat bantuan kerana tidak memenuhi syarat yang di tetapkan oleh LHDN misalnya tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Selain itu, sebahagian besar PKS di Sabah juga tidak dapat menikmati kemudahan Subsidi Upah (boleh membantu PKS dalam mengekalkan pekerja) kerana tidak berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya ketika menjawan soalan daripada Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Jannie dalam soalannya bertanya berhubung apa kejayaan serta kekangan usaha kerajaan dalam membantu PKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan berapa ramai PKR yang telah dibantu setakat ini.

Mohd Tamin berkata, peringkat negeri pula, kekangan dari segi peruntukan menyebabkan ia hanya dihadkan kepada sektor yang tertentu sahaja.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri komited untuk membantu dan berusaha supaya golongan yang terkesan terus dibantu bagi meringankan beban dan masalah mereka semasa pandemik covid-19 ini,” katanya.

Mohd Tamin sebelum itu memaklumkan bahawa kerajaan telah memberi komitmen untuk menyokong dan membantu PKS secara berterusan agar dapat membantu mereka meringankan beban semasa akibat pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, terdapat pelbagai jenis bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan pusat dan negeri untuk membantu PKS yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Di peringkat persekutuan, bantuan kewangan secara ‘one-off’ dimulakan dengan Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 diikuti dengan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0.

“Pengusaha PKS mikro menerima bantuan bernilai RM3,000 setiap satu usahawan di bawah GKP1.0 dan GKP 2.0. Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan di kalangan peniaga kecil terutama berkaitan modal kerja seperti menambah inventori dan membeli bahan mentah,” katanya.

Mohd Tamin berkata, secara keseluruhan, inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah GKP telah memanfaatkan hampir 1 juta PKS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.08 billion sejak Covid-19 melanda negara ini.

“Di peringkat negeri pula, bantuan Covid-19 kepada PKS khususnya mikro dan kotej telah memanfaatkan seramai 39,200 pengusaha dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 25.7 juta sejak tahun lalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|