Sidang DUN Sabah: Pelaksanaan JENDELA di Sabah ikut perancangan ditetapkan

Sidang DUN Sabah: Pelaksanaan JENDELA di Sabah ikut perancangan ditetapkan

Kota Kinabalu: Pelaksanaan program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Sabah setakat Oktober lalu masih mengikut perancangan yang ditetapkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, sebanyak 79 daripada 588 lokasi baharu yang dirancang dengan teknologi 4G telah siap dilaksanakan.

“Bagi menaik taraf lokasi sedia ada pula, sebanyak 2,337 lokasi telah siap dinaik taraf kepada 4G daripada 3,500 lokasi yang telah dirancang.

“Bagi projek menaik taraf premis kepada capaian gentian optik pula, sebanyak 109,408 premis telah siap dilaksanakan daripada 251,165 premis yang telah dirancang,” katanya ketika menjawab soalan daripada Fairuz bin Renddan (Bersatu-Pintasan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Yakub dalam pada itu berkata, pencapaian itu dijangka akan meningkat menjelang penghujung tahun ini dan seterusnya pada
tahun depan.

“Untuk makluman juga, perancangan dan pencapaian JENDELA adalah dinamik dan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bergantung kepada faktor peralihan dan permintaan pengguna, pembinaan bandar, kawasan perindustrian dan kawasan perumahan baharu.

“Bagi kawasan-kawasan yang tidak termasuk di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, ia akan diambil kira di bawah pelan Fasa 2 (2023-2025). Sasaran Fasa 1 adalah memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 80.2 peratus kepada 90 peratus di kawasan yang berpenduduk.

Sehingga 31 Oktober lalu, status pencapaian untuk memperluaskan liputan 4G di seluruh Sabah termasuk kawasan-kawasan pedalaman adalah 83.90 peratus,” katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam menerima akses jalur lebar, kementerian juga dalam perancangan untuk memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi pada 2022 di samping 55 lokasi pada tahun ini bagi melengkapkan Program JENDELA.

“Setakat ini, kementerian telah siap memasang perkhidmatan VSAT di 24 lokasi MCMC memperuntukkan sebanyak 138 lokasi untuk pemasangan VSAT di Sabah.

“Setakat 1 Disember 2021, sebanyak 36 lokasi dipasang jalur lebar satelit telah beroperasi. Inisiatif ini sedang giat
dilaksanakan dan dijangka siap pada awal tahun 2022.

“Kesemua inisiatif ini memerlukan kerjasama serta tindakan beberapa pihak berkepentingan dalam mengenal pasti keperluan dan
menyelaraskan inisiatif jalur lebar di Sabah,” katanya.

Sebelum itu, Fairuz dalam soalannya bertanya berhubung usaha memastikan infrastruktur teknologi digital yang cekap dan mampan di seluruh kawasan khasnya kawasan pedalaman Sabah dan langkah kementerian dalam memastikan jaringan telekomunikasi dan digital sampai kepada semua rakyat tanpa mengira lokasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|