Sidang DUN Sabah: Kerajaan terbuka dengar maklum balas semua pihak

Sidang DUN Sabah: Kerajaan terbuka dengar maklum balas semua pihak

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak, termasuk pemimpin kerajaan atau bukan untuk mengadakan dialog terbuka bagi mendapatkan maklum balas pelan pembangunan daerah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan mengambil pendekatan terbuka dalam perkara itu, lebih-lebih lagi ia membabitkan kepentingan penduduk di daerah terbabit.

Katanya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis daerah ada kuasa penuh untuk menentukan bagaimana pendengaran awam pelan pembangunan daerah dilakukan, kerajaan terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.

“Majlis daerah ada kuasa penuh untuk menentukan bagaimana pendengaran awam dilakukan tetapi kita sangat terbuka dalam hal ini.

“Malahan, ada satu laporan daripada sebuah majlis daerah saya tidak terima apabila sampai kepada Majlis Perancangan Negeri sebab saya mahu orang awam dimaklumkan dan faham implikasi pelan itu.

“Kita mengalu-alukan tidak kira pemimpin kerajaan atau bukan untuk membuat pendengaran atau dialog terbuka. Saya hanya menjalankan tugas sebagai menteri untuk sementara waktu.

“Pelan itu adalah milik penduduk daerah itu, kita sangat terbuka dan kalau ada cara lain seperti arkitek, jurutera dan sebagainya untuk memberi input, kita mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) mengenai dialog awam untuk mendapatkan maklum balas penduduk terhadap pelan pembangunan di daerah Penampang.

Masidi turut menyatakan jawapannya mengenai perkara itu boleh dianggap sebagai arahan kepada pihak PBT untuk mendengar pandangan atau maklum balas sesiapa saja.

“Anggaplah jawapan saya ini sebagai arahan kepada pihak PBT,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|