Sidang DUN Sabah: Lebih 1,000 ekar tanah wakaf berdaftar di Sabah

Sidang DUN Sabah: Lebih 1,000 ekar tanah wakaf berdaftar di Sabah

Kota Kinabalu: Seluas 1,040.835 ekar tanah wakaf didaftarkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di seluruh negeri sehingga kini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata ia membabitkan tanah wakaf khas (masjid), tanah wakaf khas (surau) dan tanah wakaf khas (Sekolah Agama Negeri).

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif

Selain itu, katanya terdapat juga wakaf am, wakaf anugerah kerajaan dan tanah wakaf individu atau sumbangan.

“Semua tanah wakaf ini akan ditadbir urus oleh Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah,” katanya menjawab soalan Mokran Ingkat (UMNO – Sungai Manila) mengenai organisasi khas mengurus tanah wakaf.

Ariffin berkata, selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi MUIS dan Enakmen Wakaf Negeri Sabah 2018, MUIS selaku pemegang amanah tunggal wakaf di Sabah menubuhkan Lembaga Pengurusan Wakaf berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Katanya, lembaga berkenaan memberi nasihat kepada MUIS berkaitan dasar, cara dan langkah yang perlu dilaksanakan dan diambil untuk menggalakkan pembanguan harta dan produk wakaf.

Selain itu, katanya lembaga berkenaan juga membuat, merancang dan melaksanakan dasar serta peraturan atau perintah MUIS berkaitan dengan pembangunan harta dan produk wakaf.

“Lembaga Pengurusan Wakaf juga bertindak sebagai agensi penyelaras di dalam pelaksanaan kemajuan pembangunan harta dan produk wakaf secara pesat.

“Ia juga mengurus dan menjalankan pengendalian serta penyelenggaraan harta wakaf termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat dan alat di kawasan harta wakaf tersebut.

“Selain itu, lembaga berkenaan juga berperanan ke arah menggalakkan, menyelaras dan melaksanakan kajian serta pembangunan di dalam semua aspek harta dan produk wakaf.

“Akhir sekali, lembaga berkenaan juga melakukan Istibdal terhadap apa-apa harta wakaf dengan persetujuan MUIS dan tertakluk kepada syarat persetujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, melalui Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah, pengurusan dan pentadbiran wakaf akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan seorang Ketua Pendaftar Wakaf bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan institusi wakaf dapat ditingkatkan.

Pada masa ini, katanya Ketua Pegawai Eksekutif MUIS adalah orang yang bertanggungjawab memastikan segala proses pewakafan dan tatacara pentadbiran di Lembaga Pengurusan Wakaf dilaksanakan mengikut proses yang teratur demi memastikan harta wakaf serta niat dan kehendak pewakaf dapat dipatuhi sebaiknya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|