Lelaki ditahan bersama 4.29 gram syabu

Lelaki ditahan bersama 4.29 gram syabu

Lahad Datu: Seorang lelaki ditahan bersama syabu dalam operasi serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Kampung Makoau, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 3 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu didapati memiliki 4.29 gram syabu yang disembunyikan di dalam sebuah kotak di rumahnya.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan atas maklumat awam berkaitan pengedaran dadah.

Katanya, sebaik serbuan dijalankan, suspek yang mengaku sebagai pemilik rumah terus ditahan untuk pemeriksaan.

“Sebaik pengeledahan dilakukan, pasukan operasi mendapati suspek mempunyai dokumen sebelum menemui plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

“Suspek terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati negatif.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|