Situasi banjir membimbangkan, kerajaan ambil tindakan pantas – PM

Situasi banjir membimbangkan, kerajaan ambil tindakan pantas – PM

Kuala Lumpur: Situasi banjir negara dilaporkan semakin teruk dan sebanyak 188 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka setakat 11 malam tadi di enam negeri.

Antara paling teruk terjejas adalah Selangor hingga melumpuhkan pergerakan di kebanyakan kawasan yang terjejas sejak semalam.

Memetik Portal Malaysiapost, beberapa kawasan di ibu negara turut mula dinaiki air sejak malam tadi termasuk Dataran Merdeka dan kawasan sekitar.

Negeri lain yang turut terjejas susulan keadaan hujan luar biasa yang berterusan sejak Khamis lalu adalah Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dilaporkan setakat jam 11 malam tadi seramai 4,500 keluarga membabitkan 11,384 mangsa banjir terjejas di kesemua Negeri yang terbabit.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut berkenan meninjau situasi banjir di ibu negara.

Baginda dilaporkan berjalan meredah air banjir di jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan secara keseluruhan 66,015 petugas agensi penguatkuasa untuk membantu di lokasi banjir terutama di Selangor.

Beliau turut meninjau di kawasan terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong yang terkandas akibat banjir di kawasan Putra Heights, Selangor, awal pagi tadi.

“Saya sempat bertanya sendiri dengan mangsa banjir mengenai situasi yang mereka hadapi.

Pasukan Bomba dan Penyelamat terus melaksanakan kerja-kerja memindahkan dan membantu penduduk yang terkandas di kawasan tersebut.

“Kita akan pastikan setiap mangsa banjir menerima bantuan dengan cepat dan pantas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam satu lagi hantaran terdahulu beliau memaklumkan situasi bencana banjir amat membimbangkan namun kerajaan akan mengambil tindakan yang pantas untuk memastikan keselamatan seluruh ahli Keluarga Malaysia yang terjejas akibat banjir.

“Kita akan pastikan segala usaha dilaksanakan demi menyelamatkan nyawa rakyat dalam menghadapi bencana banjir.

“Buat seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi, elakkan berada di kawasan yang terdedah kepada bahaya demi keselamatan diri dan keluarga.

“Sebarang aduan, sila hubungi Pusat Kawalan Bencana Negara di talian hotline 03-80642400,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|