Kemenangan besar GPS bukti rakyat Sarawak tolak PH

Kemenangan besar GPS bukti rakyat Sarawak tolak PH

Kota Kinabalu: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak malam tadi membuktikan rakyat negeri itu menolak gabungan parti nasional di bawah Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata rakyat Sarawak jelas lebih mengutamakan gabungan parti tempatan, khususnya GPS.

Datuk Seri Salleh Said Keruak

“PRN Sarawak membuktikan rakyat Sarawak memilih gabungan parti tempatan GPS, parti tempatan (Parti Sarawak Bersatu) dan menolak gabungan parti nasional (PH),” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau.

Sementara itu, Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata kejayaan GPS itu turut memberi gambaran bahawa demokrasi berasaskan parti menjadi asas kukuh untuk kemakmuran politik yang berterusan.

Katanya, pertandingan politik adalah di antara parti dan bukannya individu sebagai kunci utama kestabilan mandat untuk mentadbir kerajaan.

“Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada GPS atas kejayaan luar biasa dalam membentuk kerajaan baharu Sarawak (76 daripada 82 kerusi).

“Ini menunjukkan demokrasi berasaskan parti adalah asas yang kukuh untuk kesinambungan kemakmuran politik,” katanya.

GPS mencapai majoriti mudah dengan 45 kerusi untuk kembali membentuk kerajaan negeri pada jam 8.45 malam tadi.

Berikutan kemenangan itu, Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg sekali lagi mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Sarawak pada jam 10.40 malam tadi.

PRN Sarawak menyaksikan parti pembangkang hanya memenangi enam kerusi, masing-masing empat oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua DAP, manakala parti pembangkang lain, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah tewas semua kerusi ditandingi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|